- Mar 11, 2014
-
HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR:
Keadilan sejati menuntut kepada pelaksanaan undang-undang yang adil,
saksama, telus dan jujur, titah Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah
(gambar).
Baginda
bertitah pelaksanaan perundangan secara telus dan jujur akan membuatkan
rakyat sedar bahawa keadilan dilaksanakan dan menerima sesuatu
undang-undang tanpa ragu.
"Jaminan keadilan tidak ditentukan
atau dijamin melalui dokumen undang-undang secara bertulis, struktur
organisasi yang moden dan peralatan yang canggih namun keadilan sejati
menuntut kepada pelaksanaan perundangan yang telus dan jujur.
"Pihak
pelaksana undang-undang termasuk mahkamah serta pegawai-pegawainya
iaitu hakim, pendakwa raya dan peguam bela mempunyai tanggungjawab
penting untuk menjamin keadilan dan demokrasi selain integriti
pemerintahan awam dalam sesebuah negara dapat dipertahankan," titah
baginda.
Raja Nazrin bertitah pada Majlis Konvokesyen Ke-19,
Peperiksaan Sijil Amalan Guaman 2013 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Baginda bertitah pelaksanaan undang-undang secara adil dan telus dapat mencegah rakyat daripada mengadakan demonstrasi.
Menyentuh
mengenai akses khidmat bantuan guaman kepada golongan berpendapatan
rendah, Raja Nazrin bertitah Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)
ditubuhkan pada 25 Feb 2011 bagi memperluas akses khidmat guaman kepada
golongan sasar.
Titah baginda, YBGK merupakan suatu komitmen
penting kerajaan melalui suatu keputusan politik berani yang
diperkukuhkan melalui gerak kerja dinamik serta pencapaian meyakinkan
agar penubuhan yayasan itu tidak dipersendakan.
"YBGK
hendaklah dipastikan berjaya memberi impak, mencetus perubahan
signifikan dan positif dalam menegakkan keadilan negara. Pendukung YBGK
walaupun berhadapan pelbagai cabaran tetapi berpeluang mencipta dan
melakar sejarah kejayaan melalui sistem penyampaian dan khidmat guaman
berkualiti tinggi," titah baginda.
Menurut Raja Dr Nazrin,
sejak ditubuhkan YBGK telah mendapat sambutan menggalakkan dengan 1,075
orang telah tampil melibatkan diri sebagai peguam manakala pada 2013,
sebanyak 140,761 rakyat seluruh negara telah mendapat manfaat bantuan
guaman YBGK.
Baginda bertitah, keadilan akan tercicir sekiranya
khidmat guaman hanya berpihak kepada masyarakat daripada golongan
berpendapatan tinggi dan kumpulan elit sahaja.
"Lapan puluh
peratus tertuduh bagi kes jenayah di negara ini tidak diwakili peguam
disebabkan faktor kewangan," titah baginda sambil menyeru agar akses
khidmat guaman tanpa diskriminasi menjadi faktor utama bagi memastikan
pengurusan keadilan dilakukan secara saksama.
Baginda
bertitah rangkaian hubungan profesional dan semangat saling menghormati
antara tiga entiti utama terdiri daripada Institusi Kehakiman, Jabatan
Peguam Negara dan Majlis Peguam adalah amat penting dipupuk.
"Penghormatan
itu tidak datang bergolek, ia perlu diusahakan melalui amalan integriti
dan etika profesional yang tinggi," titah baginda.
Terdahulu,
Raja Nazrin turut mengucapkan tahniah kepada lulusan Peperiksaan Sijil
Amalan Guaman 2013 yang telah memenuhi kriteria dan layak dianugerahkan
Sijil Amalan Guaman.
Baginda berharap pemegang sijil tersebut
akan memenuhi peranan serta tanggungjawab kepada anak guam dengan
komitmen dan dedikasi tinggi.
"Wakililah anak guam sebaik
mungkin, berhujahlah dengan berhemah dan bijaksana. Hindarkan daripada
melakukan sesuatu hingga memungkinkan tercicirnya keadilan serta
menghalalkan berlakunya kezaliman," titah baginda.
- Bernama